Wednesday, December 23, 2009

Terajui promosi teknologi, ekonomi hijau

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Masalah perubahan iklim global, teknologi serta ekonomi hijau merupakan isu baru yang perlu diterajui wanita supaya selaras dengan wawasan kerajaan membangunkan negara berasaskan teknologi hijau.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, memandangkan teknologi dan ekonomi hijau ini isu baru maka kementerian perlu bekerjasama dengan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, banyak pihak berminat mempromosikan agenda tersebut selepas Persidangan Perubahan Iklim Copenhagen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2009, baru-baru ini.
"Kita juga akan meminta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kepada program besar-besaran ke arah mempromosi teknologi serta ekonomi hijau dan perubahan iklim.
"Kementerian yakin wanita boleh menerajui isu-isu itu walaupun ia merupakan perkara baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita sempena majlis penghargaan dan terima kasih bersama wakil pemimpin wanita 1Malaysia di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Rosmah serta 200 NGO berkaitan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta wakil-wakilnya dari seluruh negara.
Menurut Shahrizat, banyak NGO menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tercapai.

0 comments:

Post a Comment