Wednesday, December 16, 2009

Iklim: Perunding di Copenhagen perlu bertindak pantas

Utusan Malaysia:

COPENHAGEN 15 Dis. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang dijadual menghadiri rundingan iklim global hari ini memberi amaran perunding perlu bertindak pantas supaya mesyuarat di sini tidak berakhir dengan kegagalan besar selepas negara-negara membangunkan melancarkan boikot selama lima jam.

Pertelingkahan semasa mesyuarat yang dijadual berlangsung selama 12 hari itu bertambah buruk apabila negara pencemar terbesar di dunia, China turut menuduh negara Barat melakukan tipu muslihat dan cuba menjadikannya sebagai kambing hitam jika rundingan di Copenhagen gagal mencapai perjanjian bagi memerangi pemanasan global.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pula berkata, beliau mahu perjanjian yang mengenakan 'langkah-langkah bermakna' dicapai pada rundingan di sini.
Namun para menteri alam sekitar mengakui mereka perlu mula mencapai kemajuan besar sebelum Obama dan sekitar 120 pemimpin lain berhimpun untuk sidang kemuncak pada penutup rundingan bermasalah itu, pada Jumaat ini.
"Masa semakin suntuk, kerana jika segala isu diserahkan kepada para pemimpin untuk diselesaikan pada saat-saat akhir, kita mungkin mencapai perjanjian yang lemah atau gagal sama sekali untuk mencapai sebarang perjanjian.
"Ini akan menandakan kegagalan yang boleh membawa akibat yang amat buruk," kata Ki-moon kepada wartawan di New York sebelum berlepas ke Copenhagen.
Persidangan itu mengalami pergolakan lagi semalam apabila Afrika mengetuai boikot negara-negara membangun terhadap kumpulan kerja, tetapi kembali ke meja rundingan lima jam kemudian selepas mendapat jaminan sidang kemuncak itu tidak akan meminggirkan rundingan mengenai masa depan Protokol Kyoto.
Protokol 1997 itu, yang menyekat pengeluaran gas rumah hijau dan tidak disertai oleh AS, menghendaki negara-negara kaya yang menandatanganinya supaya mengurangkan pengeluaran karbon masing-masing, tetapi kewajipan itu tidak melibatkan negara membangun.
Rundingan di sini sudah pun dicemari perbalahan antara AS dengan China yang mengetuai kempen untuk mewajibkan negara-negara kaya membantu dunia membangun memerangi perubahan iklim.
Matlamat besar yang hendak dicapai oleh sidang kemuncak iklim itu adalah untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau iaitu bahan sampingan yang terbit daripada aktiviti pembakaran arang batu, minyak dan gas, menyebabkan haba matahari terperangkap dan suhu atmosfera bertambah panas.
Saintis berkata, tanpa tindakan drastik dalam tempoh sedekad akan datang, Bumi akan mengalami pemanasan yang mengakibatkan kemarau, banjir, ribut dan kenaikan paras laut, seterusnya membawa kepada kebuluran dan kesengsaraan bagi berjuta-juta penduduk dunia. - AFP

0 comments:

Post a Comment