Saturday, December 19, 2009

Ekonomi karbon-rendah jalan terakhir kawal iklim

 Dari Berita Harian

Oleh Dr Fredolin Tangang

Keputusan sidang di Copenhagen penentu cuaca masa depan

BAGI pembaca yang mengikuti perkembangan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15) di Copenhagen, Denmark yang kini sedang berlangsung , pasti dapat merasai bahawa sukarnya membawa persidangan ini ke arah kesepakatan - bagaimana menangani masalah perubahan iklim yang kini melanda dunia.

Tiga isu teras yang dibincangkan. Pertama, negara mana yang perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan pada kadar berapa? Kedua, mekanisme yang boleh diguna pakai dalam mencapai pengurangan ini? Ketiga, bantuan dana yang perlu disalurkan kepada negara miskin yang sedang membangun bagi membolehkan negara ini beralih kepada ekonomi karbon-rendah dan juga beradaptasi kepada fenomena perubahan iklim seperti banjir, kemarau, taufan dan peningkatan aras laut.

Laporan Panel Antarabangsa mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menunjukkan bahawa negara industri perlu mengurang antara 25 hingga 40 peratus kadar pelepasan GHG mereka pada 2020 daripada tahap pengeluaran 1990 untuk mengehadkan peningkatan suhu dunia ke tahap tidak melebihi dua darjah Celsius. 

Semua negara secara kolektif perlu mengurangkan antara 50 hingga 90 peratus kadar pelepasan pada 2050. Isu ini sedang diperhalusi oleh perwakilan mewakili 192 negara seluruh dunia, termasuk Malaysia. Menteri alam sekitar negara terbabit mula sampai di Copenhagen untuk merancakkan lagi perundingan itu.

Dilaporkan juga bahawa pemimpin dari lebih 100 negara dijangka hadir ke sidang ini pada hari terakhir persidangan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pemimpin dunia yang mewakili negara maju, membangun dan negara miskin ini diharapkan dapat membereskan isu yang mungkin tidak dapat diselesaikan pada peringkat awal persidangan.

Laporan laman web rasmi COP15 menyebut setakat ini, persetujuan awal sudah dicapai dalam isu pemindahan teknologi hijau dan juga penggunaan hutan sebagai penyerap pelepasan gas karbon dioksida (CO2). Bagaimanapun, isu teras termasuk kadar pemotongan pembebasan GHG dan jumlah dana yang perlu disalurkan kepada negara miskin masih jauh daripada sebarang persetujuan.
Apakah implikasinya kepada dunia dan Malaysia khususnya, jika dunia gagal mencapai kesepakatan pada persidangan COP15 ini? Menurut laporan terkini Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), kadar pembebasan GHG dunia kini sudah melebihi senario pembebasan tertinggi IPCC.

Ini bermakna, jika tiada komitmen terutama dari negara maju dan perindustrian serta negara membangun yang besar seperti China dalam mengurang kadar pembebasan GHG mereka, dunia akan mengalami perubahan iklim seperti diunjurkan IPCC berdasarkan senario pembebasan GHG tertinggi.

Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim ke-4 IPCC yang diterbitkan pada 2007, purata suhu dunia boleh mencapai sehingga lima hingga enam Celsius pada penghujung abad ini. Jika dalam seratus tahun lalu peningkatan purata suhu hanyalah sekitar 0.7 darjah Celsius dan ini menyebabkan pelbagai perubahan kepada sistem iklim dunia. Peningkatan lima hingga enam darjah Celsius, akan membawa impak yang dahsyat dan kehancuran kepada kehidupan manusia di muka bumi ini.

Berdasarkan penyelidikan penulis sendiri, Malaysia diunjurkan mengalami peningkatan suhu sehingga 40 darjah Celsius pada penghujung abad ini. Ia bermakna, suhu maksimum pada siang hari boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius atau lebih, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Mungkin manusia masih boleh menyesuaikan diri pada suhu tinggi seperti ini, tetapi sistem iklim dunia akan mengalami perubahan drastik. Kejadian fenomena iklim seperti banjir, kemarau, gelombang panas, ribut taufan akan meningkat. Pencairan ais dan glasier di Artik dan Greenland serta Antartika semakin meningkat, sekali gus akan meningkatkan aras laut.

Menurut laporan ke-4 IPCC, peningkatan purata aras laut diunjurkan sehingga 0.59 meter pada penghujung abad ini. Bagaimanapun, kajian terkini menunjukkan pencairan di Artik lebih serius daripada yang diunjurkan oleh IPCC dan unjuran peningkatan purata aras laut sepatutnya melebihi satu meter.

Bagaimanapun, peningkatan sebenar di sesuatu kawasan mungkin melebihi angka ini bergantung kepada beberapa perkara, termasuk corak tiupan angin dan juga peredaran lautan di kawasan berkenaan.

Menurut laporan ke-4 IPCC, kadar peningkatan aras laut di kawasan Asia Tenggara Malaysia adalah dua kali ganda daripada purata biasa. Ini bermakna jika unjuran purata aras laut melebihi 1 meter, maka Malaysia diunjurkan akan mengalami peningkatan aras laut melebihi dua meter pada penghujung abad ini.

Malaysia kini sudah mengalami hakisan pantai serius dan akan terus menghadapi masalah ini pada dekad akan datang jika tiada langkah diambil. Lebih membimbangkan ialah kegagalan dunia mengekang peningkatan suhu supaya tidak melebihi dua darjah Celsius.

Kajian saintis menunjukkan ini adalah 'tipping point' yang akan menjadikan kadar pemanasan meningkat pada kadar lebih cepat dan menjadikan iklim dunia tidak boleh dikawal lagi. Jika peningkatan suhu ini berlaku, aras laut mungkin lebih tinggi daripada yang diunjurkan IPCC.

Jika COP15 gagal mencapai perjanjian yang mempunyai status perundangan, akan memudaratkan dunia dan kehidupan generasi akan datang. Persoalannya mengapa terlalu sukar dunia mengurangkan pembebasan GHG? Jawapannya kerana ia membabitkan wang ratusan bilion dolar Amerika.

Bagaimanapun, dunia tiada pilihan selain bergerak kepada ekonomi karbon-rendah. Data Majlis Tenaga Dunia menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar, penggunaan tenaga, jumlah populasi dan kadar pembebasan GHG meningkat secara seiringan.

Cabaran dunia kini adalah mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan bergerak kepada ekonomi karbon-rendah dengan mencari sumber tenaga bersih, penciptaan teknologi hijau dan efisien. Malaysia juga perlu bergerak ke arah ini.

Penulis ialah Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, UKM yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1, Antara Kerajaan Panel Antarabangsa mengenai Perubahan Iklim (IPCC)

0 comments:

Post a Comment