Friday, December 18, 2009

Malaysia komited kurangkan pelepasan karbon sehingga 40 peratus: PM

Sumber Berita Harian

Daripada Wan Hazmir Bakar

COPENHAGEN: Malaysia akan mengguna pakai petunjuk bagi pengurangan secara sukarela pelepasan karbon atau gas rumah hijau sehingga 40 peratus daripada intensiti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding tahap 2005, kata Datuk Seri Najib Razak.

Mengumumkan komitmen Malaysia itu pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP 15) di sini, Perdana Menteri berkata ia bergantung kepada penerimaan pemindahan teknologi dan bantuan kewangan secukupnya daripada negara maju untuk mencapai petunjuk itu.

Najib berkata, berdasarkan kepada kajian beberapa agensi PBB, negara membangun memerlukan sekurang-kurangnya AS$800 bilion setahun untuk menangani perubahan iklim, iaitu sasaran mengekalkan peningkatan suhu dunia pada 2 darjah Celcius.

Perdana Menteri berkata, jika sasaran diubah kepada hanya 1.5 darjah Celcius, pembiayaan yang diperlukan negara membangun adalah setinggi AS$1.5 trilion setahun.

"Apabila difikirkan, ia tidaklah setinggi mana jika dibandingkan dengan bertrilion dolar yang baru-baru ini digunakan untuk menyelamatkan bank dan syarikat," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata pembiayaan segera AS$10 bilion yang dicadangkan negara maju pada persidangan Copenhagen adalah terlalu sedikit dan amat tidak mencukupi.
"Justeru, kami menggesa negara maju untuk menyumbang AS$200 bilion setahun menjelang 2012 dan seterusnya AS$800 bilion setahun yang diperlukan selepas itu," katanya di sini, sebentar tadi.

COP 15 yang berlangsung selama 11 hari mulai 7 Disember lalu itu disertai 192 negara dan 110 ketua kerajaan.

Perdana Menteri juga berkata, adalah penting dikaitkan isu berhubung wawasan bersama dengan isu pembiayaan dan pemindahan teknologi.

Beliau berkata, terdapat cadangan di Copenhagen supaya diterima sasaran jangka panjang bagi pengurangan sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding 1990 dan negara maju juga mencadangkan pengurangan pelepasan mereka sehingga 80 peratus.
Katanya, senario ini jika diterima membayangkan pengurangan mutlak sebanyak 20 peratus oleh negara membangun dan pengurangan 60 peratus per kapita kerana peningkatan bilangan penduduk.

"Ini adalah sesuatu yang mustahil disebabkan keperluan untuk pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi. Justeru, negara maju perlu memberi komitmen untuk mengurangkan pelepasan melebihi 100 peratus. Dalam erti kata lain, mereka perlu mencapai pelepasan negatif supaya negara membangun mempuyai ruang untuk karbon. Negara maju juga perlu menjamin pembiayaan yang mencukupi dan pemindahan teknologi.

"Hanya jika semua ini diterima sebagai sebahagian daripada pakej, barulah negara membangun boleh mempersetujui sasaran global bagi pegurangan pelepasan," katanya.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan anggaran yang boleh dipercayai, sasaran individu yang diumumkan negara maju hanyalah di antara 13 dan 19 peratus, iaitu satu tahap terlalu rendah yang tidak boleh diterima.

Najib berkata, ia tidak meletakkan masyarakat dunia pada landasan betul untuk mencapai sasaran dua darjah Celcius apa lagi 1.5 darjah Celcius.

"Malaysia menggesa negara maju untuk memberi komitmen secara kolektif di Copenhagen bagi pengurangan 49 peratus menjelang 2017 berbanding tahap 1990 sejajar dengan cadangan Malaysia dengan negara lain," katanya.

Najib berkata, satu lagi kebimbangan serius negara membangun ialah ancaman perlindungan perdagangan yang menyamar sebagai usaha menangani perubahan iklim.

Justeru, katanya, untuk persidangan Copenhagen berjaya, perlu ada pernyataan jelas bahawa negara maju tidak boleh mengenakan tindakan berkaitan perdagangan seperti tarif karbon dan sekatan kemasukan terhadap produk, perkhidmatan dan pelaburan negara membangun.

"Jika tidak, kita akan ada situasi yang mana negara maju menghulur satu dolar di satu tangan dan mengambil pula 10 dolar dengan tangan lain," katanya.

Najib berkata, satu lagi kunci utama bagi kejayaan persidangan Copenhagen ialah pengekalan Prtokol Kyoto dan pelaksanaan jadual waktu komitmen negara maju.


0 comments:

Post a Comment