Wednesday, January 20, 2010

Menjana, memulih tenaga untuk kegunaan masa depan dunia

Berita Harian: 18 Jan 2010

Oleh Dzulkifley Zanudin di Abu Dhabi

SIDANG Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia 2010 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), mulai hari ini hingga Khamis ini membuka tirai perbincangan pemimpin dunia bagi menangani krisis tenaga sejagat berikutan sumber semakin berkurangan kesan pemanasan global.

Antara agenda penting bakal dibincangkan ialah peningkatan usaha mencari sumber baru tenaga, termasuk memanfaatkan tenaga suria, angin dan ombak daripada disia-siakan begitu saja. Silap penggunaan sumber tenaga, terutama membabitkan pelepasan gas rumah hijau dan karbon turut mewujudkan malapetaka di kalangan warga dunia.

Sidang itu turut dijadual melancarkan inisiatif pemimpin muda tenaga masa depan, sebagai inisiatif berterusan mewujudkan penggerak dan pembuat dasar bertanggungjawab dalam isu sumber tenaga sejagat. Sidang kali ini turut menarik penyertaan sulung China sebagai gergasi ekonomi dunia, sekali gus mampu memberi kesan dalam dasar tenaga dan alam sekitar secara meluas kepada negara peserta lain.

Perkembangan mengerikan akan kesan fenomena pemanasan global ke atas cuaca dan fizikal bumi, sekali gus menjejaskan masa depan kelangsungan kehidupan atau survival manusia, menunjukkan pemimpin setiap negara perlu berusaha keras ke arah penjagaan alam sekitar dan dasar tenaga yang sesuai.

Sejak revolusi tenaga elektrik dan penggunaan barangan elektrik yang menyerikan dan menerangi kehidupan manusia selama ini, semakin lama, kita semakin hari dikejutkan dengan bayangan dunia lebih suram dan malap seandainya tenaga hidro atau air berkurangan atau habis berikutan kesan pemanasan global.

Kehadiran produk elektrik yang melepaskan karbon berlebihan serta menipiskan ozon angkasa turut mempengaruhi kadar cahaya matahari berlebihan, memungkinkan fenomena pemanasan global. Ini sekali gus juga mempengaruhi perubahan ombak dan glasier di kutub semakin mencair, sehingga beberapa negara kepulauan seperti Tuvalu kehilangan pulau batu karang akibat kesan pemanasan global.
Bercakap mengenai tenaga, penggunaan bahan api fosil seperti minyak dan gas kini turut menjadi agenda dalam isu tenaga dan iklim. Mengikut kajian, sumber minyak dan gas di perut bumi sama ada daratan atau lautan semakin berkurangan berikutan peningkatan penggunaan sejajar perkembangan teknologi kenderaan dan pertambahan penduduk dunia.

Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia 2010 di Abu Dhabi diharap mencetus kesedaran pemimpin dunia, terutama di kalangan generasi muda dan bakal pembuat dasar negara masing-masing agar mengutamakan penggunaan sumber tenaga secara jimat dan bijaksana di samping menghasilkan sumber tenaga boleh dibaharui seperti tenaga solar, air, angin dan ombak, selain biomass.

Program dinaungi Institut Sains dan Teknologi Masdar, iaitu institusi pertama seumpamanya di Asia Barat memberi tumpuan kepada penyelidikan di bidang tenaga alternatif, teknologi alam sekitar dan kemapanan.

Kegiatan sampingan selama empat hari itu diadakan sempena sidang puncak berkenaan diharap memberi input berguna kepada 150 peserta memanfaatkan perbincangan secara terbuka dengan pakar tersohor dunia dalam bidang tenaga, perubahan iklim, dasar dan kemapanan.
Ketua Eksekutif Masdar, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dipetik laman rasmi Masdar sebagai berkata bahawa pembabitan generasi muda dalam isu berkaitan tenaga penting untuk menangani cabaran isu tenaga pada masa depan.

Malaysia turut memainkan peranan penting ke arah penghasilan sumber tenaga boleh dibaharui dengan dasar dan iltizam kepemimpinan baru negara di bawah terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadual turut berucap pada sidang pleno sempena sidang itu, mulai hari ini.

Dalam kenyataan disiarkan laman web sidang puncak itu, Najib berkata sidang berkenaan akan memainkan peranan penting selain Sidang Copenhagen bagi mempercepatkan penghasilan dan penggunaan tenaga boleh dibaharui, sebagai sumber masa depan.

Beliau antara pemimpin dunia yang akan berucap pada sidang pleno sempena pembukaan sidang puncak itu, selain Presiden Greece, Karolos Papoulias; Presiden Maldives, Mohamed Nasheed; Putera Mahkota Sepanyol, Putera Felipe de Borbón y Grecia dan Putera Mahkota Denmark, Putera Frederik André Henrik Christian.

Ketika mengulas cabaran penggunaan sumber tenaga boleh dibaharui, Najib berkata: "Setiap kita mempunyai tanggungjawab bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh dibaharui. Bagi negara membangun seperti Malaysia, kos penghasilan tenaga boleh dibaharui masih tinggi dan tidak ekonomik dari segi daya saing kerana modal tinggi mengambil masa terlalu lama untuk membuahkan hasil. Oleh itu bukan mudah untuk meyakinkan syarikat dan pelabur bagi menimbang penjanaan tenaga daripada sumber boleh dibaharui sebagai peluang pelaburan menguntungkan."

Lantaran itu, kata Najib, bagi menggalakkan pembangunan tenaga boleh dibaharui, mengadakan dasar sesuai untuk menyokong dan menyediakan persekitaran yang kondusif menjadi isu penting yang perlu ditangani kerajaan.

"Dalam hal ini, Malaysia berusaha giat ke arah itu. Bagaimanapun, perlu dinyatakan tanggungjawab ini perlu disokong oleh pihak berkaitan seperti sektor swasta, industri, perbankan dan orang awam," katanya.

Strategi diamalkan untuk pertumbuhan tenaga boleh dibaharui di Malaysia memberi tumpuan ke arah kuasa pasaran untuk mencapai matlamatnya. Malaysia berjaya menarik lebih AS$3 bilion menerusi pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri pengeluaran produk photovoltaic kuasa suria (solar PV) dan bakal menjadi hab pengeluaran teknologi kuasa suria.


Mengenai Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia, Najib berkata: "Saya berpendapat penting bagi saya secara peribadi menyertai puncak ini dan mengambil bahagian pembangunan tenaga boleh dibaharui di peringkat dunia," katanya.

"Saya percaya sidang puncak ini akan memainkan peranan penting selain Sidang Copenhagen, kerana tenaga boleh dibaharui adalah masa depan kita. Sidang Tenaga Masa Depan Dunia akan terus menjadi antara penggerak global untuk mempercepatkan pembangunan tenaga boleh dibaharui dalam usaha kemapanan alam sekitar demi faedah generasi masa depan."

0 comments:

Post a Comment