Monday, January 25, 2010

Dunia mesti urus sumber tenaga cara berkesan

Berita Harian: 18 Jan 2010

Daripada Dzulkfley Zanudin di Abu Dhabi


NAJIB dan Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan (dua dari kanan) bergambar bersama Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Halmi (kanan) serta Ketua Eksekutif Masdar, Dr Sultan Ahmed Al Jaber selepas majlis menandatangani perjanjian meneroka projek dan pelaburan teknologi hijau.

Pelaksanaan teknologi hijau boleh atasi krisis iklim: PM

DATUK Seri Najib Razak yakin pelaksanaan teknologi hijau dan kemapanan sumber tenaga bukan saja mampu memulihara dan melindungi khazanah negara, malah boleh dimanfaatkan sebagai pencetus ekonomi baru.

Lantaran itu, Perdana Menteri mahu masyarakat dunia bertindak lebih tegas dalam menangani isu pemanasan global dan sumber tenaga bagi memastikan kehidupan lebih selesa, terutama generasi akan datang.

Katanya, satu daripada cabaran besar yang memerlukan kerjasama dan kebijaksanaan swasta dan awam ialah menangani isu ketidak-mapanan penggunaan sumber tenaga dunia.

Beliau berkata, masyarakat dunia gagal memanfaatkan Sidang Copenhagen untuk menyelesaikan isu pemanasan global yang memerlukan tindakan lebih sesuai dan berkesan bagi menangani kesan perubahan iklim.

"Bumi tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran dilakukan manusia," katanya ketika menyampaikan ucaptama sesi pembukaan pleno Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia 2010 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi, di sini, semalam.
Ucapan beliau yang pertama kali hadir sebagai Perdana Menteri pada sidang itu menarik perhatian pemimpin dunia, termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan selaku tuan rumah.

Najib antara pemimpin dunia yang berucap pada sesi pleno sidang puncak yang masuk tahun ketiga itu. Sidang di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi itu disertai pemimpin dan pakar tenaga dari 40 negara.

Pemimpin lain yang berucap pada sesi itu termasuk Presiden Greece, Karolos Papoulias; Presiden Maldives, Mohamed Nasheed dan Putera Mahkota Denmark, Putera Frederik André Henrik Christian

Najib berkata, Malaysia menubuhkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, awal tahun lalu untuk memastikan sektor tenaga, pengangkutan, bangunan dan air lebih bersih.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menggalakkan penggunaan biofuel, pengurusan air secara berkesan dan pembinaan bangunan menjimatkan tenaga, termasuk pengenalan Indeks Bangunan Hijau.

"Mengikut Laporan Tenaga Dunia 2009, tanpa perubahan dasar kerajaan mengikut keadaan sekarang akan meningkatkan pergantungan kepada bahan api fosil yang boleh menyebabkan perubahan cuaca dan menjejaskan sumber tenaga.

"Dunia, terutama negara membangun perlu bertindak segera untuk menguruskan industri tenaga dengan lebih berkesan ketika berdepan harga tenaga dan pelepasan sisa yang semakin meningkat," katanya.

Beliau menyarankan keberkesanan tenaga dijadikan budaya masyarakat dunia dengan memberi galakan kepada usaha penjimatan tenaga, termasuk mencontohi langkah Suruhanjaya Eropah menjimatkan 40 terawatt jam tenaga dan menghalang pelepasan 25 juta tan karbon dioksida dengan mengharamkan mentol lampu kurang sesuai.

Selain itu, katanya, tenaga boleh dibaharui perlu digalakkan yang mana di Malaysia bahan api fosil menguasai penggunaan campuran tenaga sedia ada dan lantaran itu, kerajaan mahu meningkatkan penggunaan sehingga 2,000 megawatt (MW) bahan tenaga boleh dibaharui menjelang 2020 berbanding 50 MW sekarang.

0 comments:

Post a Comment