Wednesday, January 20, 2010

Malaysia komited jadi 'negara hijau'


 Utusan Malaysia:

ABU DHABI, 18 Jan. - Malaysia komited melaksanakan teknologi hijau dalam pembangunan dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha menjadikan negara ini sebagai 'negara hijau,' kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, empat sektor yang akan mendapat tumpuan penggunaan teknologi hijau dalam pembangunannya ialah tenaga, pengangkutan, bangunan dan pengurusan air.
"Malaysia juga telah menubuhkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air awal tahun lepas yang mempunyai tugasan menukarkan Malaysia kepada sebuah 'negara hijau,'" katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sidang pleno di hari pertama Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Sedunia di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi di sini hari ini.
Katanya, untuk mengurangkan masalah pencemaran udara di Malaysia misalnya, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan laluan tren elektrik di sektor pengangkutan awam selain memperkenalkan projek percubaan menggunakan biofuel untuk kenderaan.
"Kami telah mempromosikan penggunaan tenaga cekap sejak beberapa lama dahulu dan pengenalan indeks Bangunan Hijau diharap mampu meningkatkan jumlah bangunan-bangunan mesra alam tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata, dalam bidang pengurusan air juga usaha meningkatkan penggunaan teknologi hijau sedang giat dilaksanakan kerana Malaysia masih kurang memanfaatkan kelebihan itu walaupun mempunyai hujan lebat sepanjang tahun.
Katanya, bagi membolehkan Malaysia melaksanakan inisiatif-inisiatif mesra alam, kerajaan telah memperkenalkan beberapa polisi berkaitan seperti Polisi Bioteknologi Kebangsaan dan Polisi Biofuel Kebangsaan sejak 2005.
Najib berkata, selain itu beberapa polisi dan undang-undang baru akan diperkenalkan bertujuan mengurangkan masalah pencemaran dan pada masa yang sama memelihara sumber-sumber kekayaan semula jadi negara.
"Polisi-polisi ini diperkenalkan bertujuan memanfaatkan kelebihan sumber alam di Malaysia dan pada masa yang sama memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanah di negara ini diliputi hutan," katanya.
Katanya, dalam usaha mengurangkan penggunaan bahan bakar berasaskan fosil dan menggunakan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui, Malaysia meletakkan sasaran untuk meningkatkan penggunaan tenaga itu daripada 50 megaWatt (mW) pada masa kini kepada 2,000 mW menjelang 2020.
"Inisiatif khusus perlu diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan tenaga baru ini dan Malaysia telah memperkenalkannya seperti Program Tenaga Boleh Diperbaharui Kecil (SREP) yang menawarkan harga tinggi bagi pembelian daripada pembekal tenaga elektrik," tambahnya.
Katanya, alam semula jadi memberikan sumber tenaga yang lebih daripada mencukupi dan Malaysia sedang berusaha meningkatkan penggunaan sumber tenaga solar kerana mempunyai pancaran cahaya matahari yang banyak.
Menyentuh mengenai masalah perubahan iklim dunia, Najib membidas masyarakat antarabangsa yang masih gagal melaksanakan tindakan perlu dalam membendung ancaman itu daripada berterusan.
"Masyarakat antarabangsa perlu dan boleh melakukan sesuatu bagi memastikan dunia yang kita tinggal adalah lebih baik," katanya.
Beliau berkata, semua negara perlu berubah dan tanpa sebarang perubahan ketara dalam polisi kerajaan, masalah pergantungan kepada sumber bahan bakar berasaskan fosil akan terus meningkat dan seterusnya mengancam iklim dunia.
Katanya, dengan peningkatan jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap kualiti hidup yang lebih baik, ia akan mendorong peningkatan permintaan untuk bahan bakar dan tenaga berasaskan fosil.
"Jika polisi dan peraturan sedia ada tidak diubah, adalah dijangka penggunaan tenaga dunia akan meningkat sebanyak 44 peratus menjelang 2030 berbanding 2006," tambah beliau.
Selain Najib, antara kenamaan yang menyampaikan ucapan pada sidang yang sama hari ini ialah Presiden Greece, Kavolos Papoulias, Presiden Maldives, Mohamed Nasheed dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Sidang kemuncak selama empat hari yang bermula hari ini menjadi medan pertemuan pakar-pakar dari 118 negara membincangkan mengenai penyelidikan dan pembangunan teknologi tenaga masa depan. -- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment