Thursday, March 4, 2010

Teknologi Hijau Mainkan Peranan Penting Dalam Model Ekonomi Baharu

Bernama: 26/11/2009

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Teknologi hijau akan memainkan peranan yang penting dalam model ekonomi baharu kerana ia akan menjadi jentera pertumbuhan baharu negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menggalakkan penggunaan teknologi hijau untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dalam model ekonomi baharu.

"Kami membincangkan tentang pertumbuhan hijau dan pembiayaan hijau dan bagaimana ia boleh dilakukan menerusi proses pembangunan hijau.

"Berikutan perbincangan tersebut, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.5 bilion sebagai pinjaman kepada syarikat-syarikat yang membekalkan dan menggunakan teknologi hijau.

"Bilangan syarikat mungkin tidak banyak, tetapi jika ramai yang menggunakannya dari industri ini, saya yakin RM1.5 bilion itu akan ditambah.

"Teknologi hijau boleh menjadi pemangkin untuk mendorong industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa di sini Khamis.

Chin berkata inisiatif ini diambil untuk mempercepatkan pembangunan teknologi hijau.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah untuk mempromosi Malaysia sebagai hab teknologi hijau dan perkhidmatan berkaitan.

"Melihat kepada pertumbuhan kita dalam industri hijau, kita patut melihat banyak perubahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

"Teknologi hijau akan menjadi fokus ekonomi kita. Walau apa yang anda lakukan, kereta anda akan lebih efisyen, kita akan ada lebih banyak kereta elektrik dan hybrid.

"Pemaju perumahan akan membina lebih banyak rumah hijau apabila orang ramai menyedari kepentingan teknologi hijau," katanya.

Mengenai Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko, Chin berkata ia akan menjadi wadah ke arah perlaksanaan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan.

"Kerajaan percaya ini adalah hala tuju ke arah alam sekitar lestari dan untuk mencipta budaya perniagaan untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan," katanya.

Persidangan empat hari itu, dengan tema "A Green New Deal", bertujuan mempromosi industri teknologi hijau yang akan membantu menjana ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, menghapuskan kemiskinan dan mengelakkan bencana alam.

Persidangan itu akan diadakan bermula 14 hingga 17 Okt 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment