Tuesday, March 2, 2010

Pusat Teknologi Hijau Nasional dibentuk


KUALA LUMPUR: Atas kesedaran bahawa teknologi hijau berpotensi menjadi sektor penting dalam pembangunan ekonomi, kerajaan telah mencadangkan untuk menstruktur semula Pusat Tenaga Malaysia sebagai Pusat Teknologi Hijau Nasional.

Semasa mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pusat Teknologi Hijau yang baru diwujudkan itu akan bertanggungjawab untuk merumuskan pelan tindakan teknologi hijau negara.

"Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat tumpuan bagi menetapkan piawaian dan menggalakkan teknologi hijau. Bagi meningkatkan kegiatan kesedaran hijau dan mengamalkan gaya hidup mesra alam sekitar, peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.
Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan sulung pembentangan Bajet selama 90 minit itu berkata, kerajaan juga akan menganjurkan pameran antarabangsa mengenai teknologi hijau pada April 2010 yang dijangka akan menarik pakar dan syarikat terkemuka dalam teknologi hijau.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat untuk membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai perbandaran perintis dalam Teknologi Hijau bagi mempamerkan pembangunan perbandaran yang lain.

Katanya, Bajet 2010 juga akan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan mesra alam sekitar yang mematuhi piawaian teknologi hijau dalam pemerolehan kerajaan.
"Bagi menggalakkan teknologi hijau, kerajaan akan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat yang membekal dan menggunakan teknologi hijau.

"Bagi pembekal, pinjaman maksimum sehingga RM50 juta dan bagi syarikat-syarikat pengguna RM10 juta. Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah," katanya.

Sebagai tambahan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyediakan jaminan 60 peratus bagi jumlah pinjaman dengan baki 40 peratus oleh institusi kewangan.

Katanya, permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Nasional dan skim itu akan bermula pada 1 Januari 2010 dan dijangka memberi faedah kepada 140 buah syarikat.
Dalam menggalakkan bangunan hijau, Najib berkata pemilik bangunan yang mendapat Indeks Bangunan Hijau (GBI) dari 24 Oktober, 2009 sehingga 31 Disember, 2014 akan mendapat pengecualian cukai yang menyamai dengan perbelanjaan modal tambahan dalam mendapatkan sijil seperti itu.

GBI ialah indeks rating hijau mengenai bangunan-bangunan mesra alam sekitar yang menjimatkan kos utiliti dan mengekalkan kualiti alam sekitar.

Najib juga mengumumkan bahawa pembeli bangunan dengan sijil GBI daripada pemaju akan diberikan pengecualian duti setem untuk instrumen pindah milik.

Jumlah pengecualian itu menyamai dengan kos tambahan yang terbabit dalam mendapatkan sijil GBI dan pengecualian itu akan diberi kepada para pembeli yang melaksanakan perjanjian jual beli dari 24 Oktober 2009 sehingga 31 Disember, 2014. - Bernama

0 comments:

Post a Comment