Friday, February 19, 2010

Kementerian Hijau; "meningkatkan pengunaan tenaga boleh diperbaharui menggunakan aplikasi teknologi hijau"

Berita Harian: 28 Januari, 2010 14:09 PM
Menteri Mesti Pamerkan Prestasi Yang Baik

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) menetapkan kepada para menteri supaya mempamerkan prestasi yang baik mengikut dan akan bertanggungjawab jika mereka tidak memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian masing-masing.

Mengikut pelan itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau (Najib) telah menjalankan sesi penilaian prestasi secara individu dengan semua menteri beliau.

Dalam sesi penilaian tersebut, Perdana Menteri mempertanggungjawab menteri-menteri terhadap prestasi mereka dalam petunjuk awalan prestasi utama menteri (MKPI).

Beliau juga memberi sokongan kepada menteri untuk membantu mereka memperbaiki prestasi serta mencabar sasaran dan rancangan penyampaian yang sedang mereka rangka untuk tahun 2010.

Hasil daripada sesi penilaian PM-menteri, MKPI untuk 2010 telah dipersetujui. Prestasi berdasarkan sasaran ini akan dinilai pada bulan Mei/Jun dan November/Disember ini.

Pada tahun 2010, MKPI dijangka disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam.

Seperti bidang keberhasilan utama negara (NKRA), bidang keberhasilan menteri (MKRA) dan MKPI ini hanyalah permulaan dan akan diperhalusi dan diperbaiki selanjutnaya mengikut peredaran masa.

Inisiatif serta tindakan yang menyokong pelaksanaan ke arah mencapai sasaran ini juga merupakan penetapan awal, yang akan dimansuh, diganti atau dipertingkat jika sasaran tidak tercapai.

"Yang penting hanya penyampaian hasil sebenar dan nyata yang dapat dilihat oleh rakyat," mengikut GTP.

MKRA dan MKPI haruslah konsistan dengan keutamaan negara, iaitu NKRA dan dengan peredaran masa, ia akan disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam untuk memastikan penyampaian hasil.

Pada April 2009, menerusi pelantikan kabinet baharu, Perdana Menteri telah mengumumkan pendekatan baharu ke arah kerajaan yang lebih telus dan bertanggung jawab yang memberi tumpuan terhadap penyampaian untuk rakyat.

Untuk itu Najib memperkenal paradigma baharu untuk meningkatkan prestasi dan menyampaikan hasil dengan menggunakan bidang keberhasilan utama dan petunjuk prestasi utama.

Selaras dengan amalan Najib yang mengutamakan pencapaian transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi, menteri dan kakitangan awam kanan dipertanggungjawabkan untuk menambah baik MKRA mereka, serta pelaksanaan KPI menteri dalam bidang-bidang tersebut.

Tiga bidang tumpuan untuk menteri dan kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ialah meningkatkan pengendalian bekalan elektrik dengan mengurangkan tempoh gangguan bekalan, meningkatkan pengunaan tenaga boleh diperbaharui menggunakan aplikasi teknologi hijau serta meningkatakan bekalan air terawat dan meluaskan perkhidmatan pembetungan di kawasan bandar.
Mengikut GTP, Nilai Indeks Purata Tempoh Gangguan sistem (SAIDI) untuk Sabah ialah 1,947 minit berbanding 78 di Semenanjung Malaysia, dan 273 untuk Sarawak pada tahun 2008.

"Sasaran kami ialah mengurangkan nilai SAIDI bagi Sabah kepada 700 minit dan Semenanjung Malaysia kepada 60 minit menjelang akhir 2010," menurut GTP.

Bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui berdasarkan aplikasi teknologi hijau, kementerian telah mula meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui teknologi hidro mini dan sumber, biojisim, biogas dan sumber solar.

"Sasaran kami, pada tahun 2010, 65 MW elektrik akan dijana daripada sumber boleh diperbaharui dan 2013 KW daripada sumber solar," mengikut GTP.

Mengikut pelan itu, 96.5 peratus daripada kawasan bandar mempunyai akses kepada air terawat dan permatuhan 95 peratus kepada piawaian air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, satu nilai yang ingin dikekalkan.

MKRA dan MKPI untuk Kementerian Perumahan dan kerjaan tempatan adalah meningkatkan bilangan kediaman untuk isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar, menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan bagi pihak berkuasa tempatan.

Pada tahun 2010, kementerian itu merancang menyediakan tambahan 3,056 unit untuk disewa menerusi program Perumahan Rakyat.

Kementerian juga mahu menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai.

"Kami prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh para pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai," kata GTP.

"Oleh itu, kami akan menggunakan khidmat pemaju sedia ada untuk membantu mereka mengatasi masaalah yang mungkin dihadapi, atau melantik pemaju baharu., untuk memastikan 35 projek disambung semula pada tahun 2010," kata pelan itu.

Kementerian juga mahu meningkatkan khidmat pelanggan dan kemudahan apabila berinteraksi dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini akan direalisasikan dengan mempunyai lebih banyak PBT(tambahan 11 PBT pada tahun 2010) yang mempunyai ePBT dalam talian, bagi membolehkan rakyat membuat bayaran cukai taksiran PBT, cukai tanah serta membuat aduan atau memberi maklum balas secara elektronik.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment